Friday, December 23, 2005

DELUSI - KEPERCAYAAN TANPA ASAS

ADAT berumah tangga, bahagia dan derita datang silih berganti umpama air yang ada pasang surutnya. Tetapi kepada Hamzah seorang ahli perniagaan, tingkah laku isterinya, Hamidah, sejak kebelakangan ini yang terlalu mengawal setiap pergerakannya cukup merimaskan.

Peringkat awal, Hamzah merasakan apa yang dilakukan Hamidah ada wajarnya. Sebagai seorang isteri, perasaan cemburu yang lahir diterjemahkan sebagai tanda sayang kepadanya.

Tetapi tidak pada kali ini. Kesabaran Hamzah terhadap Hamidah, sudah sampai hadnya. Dia semakin tidak faham dengan tindak-tanduk dan kerenah isterinya. Bukan kerana sebelum ini Hamzah pernah ‘menduakan’ isterinya, malah selama sedekad menyimpul ikatan sebagai suami isteri, hanya Hamidah satu-satu wanita yang bertakhta di hatinya.

Dalam sehari, berpuluh-puluh kali Hamidah menelefon setiausaha peribadinya, sama ada benar Hamzah datang bekerja. Jika Hamzah tidak berada di pejabat, jenuh dia menjawab panggilan Hamidah yang bertanya setiap pergerakannya. Telefon bimbitnya juga menjadi mangsa. Hamidah akan memeriksa dari semasa ke semasa untuk memastikan sama ada Hamzah mempunyai ‘hubungan’ dengan wanita lain.

Kali ini, kesabarannya benar-benar teruji apabila Hamidah tidak membenarkannya keluar rumah. Sedangkan Hamzah mempunyai banyak urusan kerja yang perlu diselesaikan. Alasan Hamidah, suaminya bukan pergi bekerja tetapi ingin bertemu wanita lain. Kepada Hamzah, tingkah laku isterinya kali ini bukan sekadar menyusahkan, malah dia dapat merasakan ada yang tidak kena kepada Hamidah. Malah, paling memalukan apabila Hamidah menghalangnya dari bertegur sapa atau berbual-bual kosong dengan jiran tetangga.

Kepada Hamidah, Hamzah melakukan semua itu dengan tujuan untuk memikat wanita lain. Ekoran tidak tahan dengan kerenah isterinya yang agak luar biasa itu, akhirnya Hamzah cuba mendapatkan bantuan pakar perubatan. Doktor mengesahkan Hamidah mengalami sejenis penyakit mental yang dikenali sebagai gangguan delusi.

Mereka yang menghidap penyakit ini mempunyai satu kepercayaan tanpa asas yang kononnya sedang berlaku sesuatu dalam kehidupan mereka. Pakar Perunding Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Salina Abdul Aziz memberitahu, kepercayaan yang wujud dalam pemikiran mereka ini tidak dapat diubah dengan rasional walau dengan apa cara sekalipun.

“Sekalipun, seseorang itu berusaha untuk menjustifikasikan kepercayaan mereka walau dengan apa cara sekalipun, pesakit tetap dengan pendiriannya. Namun, kepercayaan mereka bukanlah tentang perkara-perkara aneh, sebaliknya ia melibatkan keadaan-keadaan yang boleh berlaku dalam kehidupan sebenar,” ujarnya.

Sebagai contoh ada yang percaya mereka diekori, atau pasangan menipu mereka, sedangkan hakikatnya perkara tersebut langsung tidak wujud. Bagaimanapun, tidak seperti sesetengah penyakit mental yang lain, penyakit ini tidak menjejaskan sisi lain kehidupan mereka.

Mereka adalah normal seperti orang lain, masih boleh bekerja, pergi sekolah di mana rutin atau fungsi harian langsung tidak terjejas.

Kepercayaan mereka ini hanya membabitkan satu-satu aspek saja. “Mereka boleh bekerja seperti biasa, jika delusi yang dialami lebih berkisar kepada ketidakpercayaannya terhadap kecurangan suami, maka hanya aspek itu saja,” katanya. Namun, delusi ini boleh menjejaskan hubungan dengan ahli keluarga atau rakan-rakannya.

Sehubungan itu, jelas Salina, jika keluarga terdekat dapat mengesan masalah ini, pesakit perlu dibantu secepat mungkin. Malangnya, stigma yang menebal terhadap penyakit mental menyebabkan ramai yang rela mendapatkan khidmat perubatan tradisional berbanding berjumpa doktor.

“Sebagai pengamal perubatan kami tidak menghalang jika keluarga ingin memberi pesakit air penawar, tetapi pada masa yang sama dapatkan rawatan dari hospital,” katanya.

Ini kerana, penyakit ini jika biarkan, keadaan pesakit bertambah teruk dan kemungkinan boleh bertindak menjadi agresif terhadap individu yang disyaki.


Apa itu delusi?

Ia adalah kepercayaan yang dipegang secara teguh yang tidak dapat diubah dengan alasan rasional.


Jenis-jenis delusi:


Erotomania

Individu terbabit mempercayai bahawa dirinya mempunyai hubungan ‘istimewa’ dengan seseorang yang terdiri daripada golongan kelas atasan. Ini termasuklah seseorang yang mempunyai status yang tinggi di tempat kerja, celebrity atau sesiapa saja public figure. Pesakit mendakwa, bahawa individu ini menyayangi dirinya dan akan berkahwin dengannya. Sekalipun pesakit cuba merahsiakan kepercayaannya, tetapi pada masa yang sama berusaha untuk menghubungi subjeknya melalui telefon, e-mel, surat, hadiah atau mengintip gerak-geri. Pesakit juga akan cuba untuk melindungi subjeknya. Kebanyakan pesakit yang mengganggu public figure ini biasa mendapat perhatian pihak polis.


Grandiose

Pesakit yang tergolong dalam kelompok ini percaya bahawa dirinya hebat, memiliki bakat atau kuasa yang luar biasa atau utusan Tuhan. Selain itu, dia merasakan dirinya tergolong dalam kelompok yang berjaya menemui sesuatu yang amat bermakna. Bagi mendapatkan pengiktirafan, pesakit sanggup menghubungi pihak-pihak tertentu seperti kerajaan supaya apa yang dimilikinya boleh dikongsi atau dimanfaatkan kepada orang ramai.


Cemburu

Pesakit lebih fokus pada aspek mengandaikan kecurangan pasangannya. Sebagai contoh, pesakit yakin pasangan atau kekasihnya tidak setia, bermain kayu tiga. Dia akan berusaha mencari bukti untuk menjustifikasikan kebenaran delusinya seperti mengatakan ada tompokan pada cadar atau sebagainya. Pesakit juga sanggup ‘bersemuka’, mengawal setiap pergerakan, mengekori dan cuba menjejaki ‘kekasih’ pasangannya.


Somatik

Kepercayaan pesakit lebih berkisar terhadap keadaan fizikalnya. Pesakit mendakwa seolah-olah ada bau yang kurang menyenangkan daripada kulit, mulut, dubur atau lain-lain anggota tubuh. Ada juga yang mendakwa perutnya beralih dari kedudukan asal atau telah hilang. Pesakit juga yakin ada serangga yang merayap di tubuhnya atau menghidap HIV. Sekalipun doktor mengesahkan bahawa dia tidak menghidap HIV, tetapi pesakit tetap menjalani ujian darah tiga bulan sekali.


Paranoid

Ramai yang tergolong dalam kelompok ini. Mereka merasakan ada orang sentiasa mengekori, merancang untuk membunuh dirinya, meracun, mencedera, mempersendakan dan sebagainya. Individu terbabit merasakan kesemua ini dilakukan untuk menggagal atau mengganggu gugat rancangan jangka panjangnya. Hinggakan pada satu peringkat pesakit tidak dapat tidur, kerana risau ia akan ditimpa bahaya. Ada sesetengah mereka yang membawa parang mengelilingi rumah kerana merasakan ada orang yang ingin membunuhnya. Ia juga dikenalisenagai paranoia. Bagaimanapun, pakar-pakar psikitari telah membezakan antara personaliti paranoia dengan gangguan paranoia.


Bolehkah delusi dirawat?

Ia boleh dirawat dengan ubat-ubatan. Sekalipun, gejala penyakit ini tidak dapat dihilangkan 100 peratus, tetapi dengan rawatan ubat-ubatan ia dapat mengurangkan delusi.

Ini terbukti melalui pengakuan pesakit yang mendapat rawatan. Pesakit yang sebelum ini begitu percaya dengan khayalan yang wujud dalam fikiran mereka, biasanya tidak pasti apabila disoal siasat semula. Sebaliknya, jika dibiarkan, keadaan menjadi bertambah serius di mana pesakit berkemungkinan boleh menjadi agresif.


Peringkat usia pesakit

Ia boleh bermula pada remaja yang berusia 16 tahun ke atas. Penyakit ini lama-kelamaan terus berkembang pada diri pesakit ketika mencecah usia pertengahan.


Individu yang terdedah

Kedua-dua jantina, tetapi lebih ketara kepada wanita yang berkahwin dan bekerja.


Perbezaan personaliti paranoia dengan delusi

Ia hanyalah perwatakan seseorang yang terlalu mudah ada perasaan syak-wasangka terhadap orang lain. Tetapi, ia tidak dikategorikan sebagai penyakit mental yang mengganggu rutin kehidupan individu terbabit.


Gangguan paranoia

Perasaan syak-wasangka tanpa asas yang tidak terkawal dan dikategorikan sebagai gejala penyakit-penyakit mental.

Ia berpunca daripada pelbagai sebab seperti faktor:
  • Baka atau keturunan
  • Persekitaran -- cara seseorang dibesarkan
  • Pengalaman lalu - pernah ditipu dan sukar untuk percaya kepada orang lain
  • Ganja -- ada hubung kait dengan pengambilan ganja dalam jangka masa yang lama. Kajian menunjukkan, pengambilan ganja dipercayai ada kesan pada bahan kimia otak, tetapi tiada bukti yang kukuh
  • Minuman keras -- lebih kepada menimbulkan masalah cemburu dalam hubungan suami isteri. Kebiasaannya suami merasakan isterinya mempunyai hubungan dengan orang lain dengan melakukan pelbagai siasatan terhadap isteri. Antaranya memeriksa seluar dalam isteri dan sebagainya, walaupun hakikatnya ia tidak wujud.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home